Tuesday, 29 May 2018

Penggunaan Bahasa Melayu di Media Sosial




Nama Ahli Kumpulan:
NURAIN BINTI ISSA (D20161075198)
OLIVER PATRICK (D20161075175)
EWA EY ARIF (20161075165)
SUZIELA ESTERLIA ANAK SALIM (D20161075190)
NUR ATIKA FARAAIN NABILAH BINTI JUINE (D20161075194)

PENGENALAN
Sebelum kita ingin mengetahui asal usul Bahasa Melayu dengan lebih mendalam kita perlulah mengetahui asal usul penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. Asal usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno. Teori mereka menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara. Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun bahasa Austronesia, terdapat rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina. Ahli bahasa telah membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama, iaitu Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden.
Media sosial pula adalah sejenis media yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi, dan mencipta isi meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual. Blog, rangkaian sosial dan wiki merupakan bentuk media sosial yang paling umum digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia. Andreas Kaplan dan Michael Haenlein mendefinisikan media sosial sebagai sebuah kumpulan aplikasi berasaskan internet yang membangun atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0, dan yang membolehkan penciptaan dan pertukaran.
Sementara itu, jaringan sosial merupakan laman di mana setiap orang boleh membuat laman web secara peribadi, kemudian berhubung dengan rakan-rakan untuk berkongsi maklumat dan berkomunikasi. Selain itu, Facebook, WhatsApp, Instagram dan Twitter juga merupakan jaringan media sosial yang terbesar. Jika media tradisional menggunakan media cetak dan media penyiaran, maka media sosial menggunakan internet. Media sosial mengajak sesiapa sahaja yang berminat untuk berhibur dengan memberi sumbangan dan maklum balas secara terbuka, memberi komen, serta berkongsi maklumat dalam masa yang cepat dan tidak terhad.

JENIS-JENIS PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL YANG KERAP DIGUNAKAN DI MALAYSIA
   1.      Whatsapp & Wechat
WhatsApp merupakan aplikasi yang boleh digunakan di telefon pintar. WhatsApp Messenger membolehkan kita untuk bertukar maklumat dalam bentuk pesanan ringkas, gambar, video dan audio. Aplikasi WhatsApp Messenger juga menggunakan kouta internet untuk berkomunikasi.
   2.      Instagram
Instagram adalah rangkaian media sosial yang mengongsikan gambar dan video pengguna kepada sesama pengguna dari seluruh negara. Dua orang pengasas instagram iaitu Kevin Systrom dan Mike Krieger telah memperkenalkan keluaran pertama instagram melalui App Store pada tanggal 6 oktober 2010.

   3.      Facebook
Facebook telah diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Eduardo Saverin sejak 2006, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard sahaja, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif di seluruh dunia.

JENIS-JENIS PENYALAHGUNAAN BAHASA MELAYU DI MEDIA SOSIAL
1.         Bahasa Rojak 
a.       Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan bahasa.
b.      Penggunaan bahasa yang bercampur akibat pecantuman bahasa dari setiap kaum-kaum di Malaysia melahirkan bahasa Rojak.
c.       Masyarakat memandang remeh dengan penggunaan bahasa ini dan sudah menjadikannya sebagai satu identiti atau gaya percakapan yang lebih bersifat Malaysia.
d.      Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

2.         Bahasa Sistem Pesanan Ringkas (SMS)
a.       SMS merupakan singkatan bagi istilah dalam bahasa Inggeris iaitu Short Messaging System atau dalam bahasa Melayunya Sistem Pesanan Ringkas.
b.      Bahasa ini kerap digunakan oleh semua lapis umur masyarakat baik yang muda atau pun tua.
c.       Hal ini demikian kerana lebih cepat dan lebih bersifat mesra pengguna.

3.         Bahasa Lucah
a.       Penggunaan bahasa lucah juga merupakan antara yang amat popular digunakan di alam maya yang dikenali sebagai laman media sosial.
b.      Bahasa lucah ini menjadi salah satu bahasa yang menyumbang kepada pencemaran terhadap bahsa Melayu. Bahkan, penggunaannya mampu membuat seseorang berasa malu unutk membaca setiap penulisan yang disiarkan sama ada di Facebook, blog dan sebagainya.
c.       Pemerhatian yang dibuat meunjukkan bahawa penggunaan bahasa lucah ini selalu digunakan di media sosial.

4.         Bahasa Slanga
a.       Bahasa slanga juga dikenali sebagai bahasa remaja atau mahasiswa universiti yang hanya difahami oleh mereka ketika berkomunikasi.
b.      Perkembangan bahasa ini dikatakan mencemarkan kebakuan bahasa Melayu standard.
c.       Kebanyakkan remaja menggunakan medium media sosial untuk berhubung antara satu sama lain sehingga secara tidak langsung telah mengembangkan bahasa slanga dengan lebih mudah.
d.      Sebagai contoh penggunaan bahasa Melayu di media sosial ialah:

5.         Bahasa Basahan
a.       Masyarakat biasanya berkomunikasi antara satu sama dengan menggunakan bahasa yang lebih selesa untuk difahami dan diterima sehingga ianya menjadi kebiasaan bagi mereka.
b.      Antara bahasa basahan yang biasa digunakan ialah bahasa pasar, dialek, loghat dan bahasa yang bercampur.
c.       Dalam media sosial, bahasa ini banyak digunakan dengan penggunaan dialek kawasan masing-masing seperti dialek Kelantan, dialek Terengganu dan sebagainya.
d.      Contohnya dapat dilihat melalui gambar di bawah:

KESAN PENYALAHGUNAAN BAHASA MELAYU DI MEDIA SOSIAL
1.      Menjejaskan kemurnian bahasa Melayu
Pertama ialah menjejaskan kemurnian bahasa Melayu. Sesuatu bahasa itu akan menjadi rosak apabila bahasa tersebut disalah gunakan. Sebagai contoh,  penggunaan bahasa dalam khidmat pesanan ringkas (sms) dan bahasa rojak digunakan dalam laman sosial. Akibatnya, bahasa menjadi rosak dan menjatuhkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Selain itu, bahasa melambangkan sesuatu bangsa. Jika rosak sesebuah bahasa maka akan rosaklah bangsa tersebut. Akhirnya bangsa tersebut akan hilang identitinya sendiri. Oleh yang demikian, mahasiswa-mahasiswi perlu cakna dalam menggunakan bahasa di laman sosial.

2.      Kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang
Penyalahgunaan bahasa Melayu di media sosial juga akan menyebabkan kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang. Pendedahan terhadap kekerapan penggunaan bahasa Melayu yang salah akan membuatkan generasi akan datang terbiasa dan mengabaikan penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Generasi yang baru akan mengalami kesukaran dalam mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu kerana berlaku kekeliruan antara bahasa yang sering digunakan dengan bahasa Melayu yang betul.

3.      Hilang minat terhadap bahasa Melayu
Mata pelajaran bahasa Melayu terbahagi kepada beberapa aspek penting yang harus dipelajari. Justeru, sikap masyarakat yang memandang remeh terhadap bahasa Melayu memilih untuk menggunakan penggunaan bahasa Melayu yang salah kerana ia lebih mudah dan tidak kompleks. Keminatan terhadap mempelajari bahasa Melayu secara tidak langsung pasti akan hilang akibat daripada penyalahgunaan bahasa Melayu. Malah, masyarakat hanya menggunakan bahasa Melayu yang tidak berilmiah tanpa menyanjung ketertinggian bahasa itu sendiri.

4.      Gejala sosial semakin berleluasa
Tidak boleh dinafikan lagi bahawa pengguna laman media sosial masa kini pasti akan terdedah dengan isu-isu yang sensitif. Pendedahan isu-isu sensitif terhadap pengguna media sosial pasti akan menyebabkan peningkatan gejala sosial terutamanya bagi pengguna dalam kalangan remaja. Kebiasaan menggunakan bahasa kurang sopan seperti menggunakan bahasa kasar dan lucah ketika berkomunikasi di laman media sosial boleh menimbulkan salah faham dan akhirnya menyebabkan pergaduhan. Keadaan bertambah buruk apabila remaja atau individu tersebut turut menggunakan bahasa tersebut dalam pergaulan seharian mereka sehingga boleh mencemarkan kesucian Bahasa Melayu dan seterusnya menyebabkan masyarakat kita dipandang serong oleh masyarakat luar kerana menurut kata pepatah “Bahasa Melambangkan Bangsa” menjelaskan bahawa penggunaan bahasa boleh melambangkan pribadi sesuatu bangsa. Penggunaan bahasa kurang sopan dan penyebaran isu-isu sensitif di laman media sosial bukan sahaja boleh menyebabkan peningkatan masalah sosial seperti pergaulan bebas, buli, dan pemberontakan dengan orang yang lebih tua malah lebih mengejutkan lagi apabila kanak-kanak yang masih bersekolah rendah turut terbiasa menggunakan ayat-ayat kasar atau perkataan berunsur lucah tersebut sehingga memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan dan perkembangan minda kanak-kanak tersebut. Jika hal ini tidak dibendung, adalah tidak menghairankan jika kes gejala sosial juga turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang belum lagi menginjak ke alam remaja.

5.      Kualiti bahasa Melayu dalam kalangan pelajar
Sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak dibendung dengan meluas, lama–kelamaan bahasa ini akan menjadi sebati dalam diri remaja tersebut.Pastinya pelajar yang sering disogok oleh perkataan dan istilah-istilah yang muncul setiap hari akan keliru dengan penggunaan bahasa yang betul. Para pelajar akan turut terpengaruh untuk menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam perbualan mereka sehari-harian dalam tugasan penulisan di sekolah. Hal ini bukan sahaja menyebabkan kualiti penulisan mereka di sekolah semakin menurun malah pengetahuan terhadap bahasa kita sendiri iaitu Bahasa Melayu juga akan semakin kurang. Jika pelajar terbiasa menggunakan bahasa yang sering digunakan dalam media sosial, mereka akan terbiasa menggunakan bahasa tersebut dalam mana-mana penulisan di sekolah dan ini akan mempengaruhi keputusan mereka dalam peperiksaan disebabkan oleh penggunaan bahasa yang tidak tepat. Ini menunjukkan penggunaan bahasa yang tidak tepat dalam media sosial memberi pengaruh yang tidak baik kepada pelajar terutamanya dari segi penulisan di sekolah.  Dengan demikian, mutu kualiti bahasa dalam kalangan pelajar pastinya akan semakin menurun dan tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan pelajar yang masih lagi tidak mengenal apa itu pantun dan syair.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, aplikasi-aplikasi seperti facebook, Instagram, whatsapp dan wechat ini sememangnya sangat mudah untuk digunakan oleh setiap golongan masyarakat. Perkara inilah yang membuatkan masyarakat terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak terdedah dengan penyalahgunaan bahasa Melayu. Pendedahan terhadap penyalahgunaan bahasa Melayu di media sosial telah menimbulkan banyak kesan yang tidak baik. Perkara yang lebih merunsingkan terhadap penyalahgunaan bahasa Melayu di media sosial jika berterusan, kualiti dan keunikan bahasa Melayu pasti akan hilang di telan zaman. Setiap masyarakat perlu sedar dan bertanggungjawab terhadap perkara ini agar kita dapat bersama-sama memartabatkan bahasa kita dengan lebih utuh dan mendapat tempat di mata dunia.